Source from: Berita Harian, Original Article

KUALA LUMPUR: Industri peruncitan secara keseluruhannya tidak akan terkesan dengan kenaikan gaji minimum RM1,200 bermula tahun depan kerana sudah menawarkan gaji lebih tinggi daripada kadar berkenaan ketika ini.
Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua, berkata sektor pengilangan bagaimanapun mungkin akan terkesan kerana menggajikan bilangan pekerja dalam jumlah yang tinggi sehingga 1,000 atau 2,000 orang.
“Secara keseluruhannya, industri peruncitan tidak akan terkesan dengan kenaikan gaji minimum ini kerana ketika ini, gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada kadar RM1,200.
“Namun, ia bergantung kepada setiap sektor kerana seperti saya jelaskan, sektor pengilangan mungkin terjejas kerana mempunyuai jumlah pekerja yang besar.
“Justeru, adalah menjadi cabaran buat mereka untuk mencari langkah terbaik bagi mengurangkan impak yang dikenakan terhadap syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Big Onion Food Caterer Sdn Bhd dengan Penang Chendul dan Liang Associate Chains Sdn Bhd.
Pada majlis itu, Big Onion Food Caterer diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Liang Foo Kuan; Penang Chendul oleh wakilnya, Chuang Von Fah dan Liang Associate oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jarvin Leow.
Menerusi MoU itu, Big Onion Food Caterer akan menawarkan sajian dihasilkan oleh Penang Chendul dan Liang Associate Chains ke dalam menu katering mereka sebagai pilihan tambahan kepada pelanggan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan mencadangkan gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan berbanding RM1,100 ketika ini di bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020.
Dalam perkembangan lain Chua menjangkakan pasaran peruncitan pada tahun depan akan bertambah baik daripada tahun ini dipacu oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Katanya, kempen itu dijangka akan menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara untuk turut berbelanja bagi membeli barangan keperluan atau membeli belah.
“Kebiasaannya, pelancong akan membelanjakan satu pertiga daripada perbelanjaan mereka untuk membeli belah selain daripada penginapan dan pengangkutan.
“Jadi, kita mengharapkan kempen tahun melawat Malaysia ini akan mampu memacu dan merangsang industri peruncitan yang ketika ini agak lembap,” katanya.